
Malah, beritahu Zizan, 25, rezeki yang diperoleh mengajarnya untuk lebih bersyukur atas nikmat pemberian Yang Maha Esa. Apatah lagi, dengan menjadikan industri seni sebagai karier menjana pendapatan, mengingatkannya agar sentiasa mempelajari dan mengeksplorasi pengetahuan baru.
Menyedari hakikat sebagai pendatang baru, Zizan akui perlu sentiasa menonjolkan kelebihan diri untuk bertahan di hati peminat seni tempatan, selain bersaing dengan nama besar sedia ada. Bukan takut dengan persaingan, tetapi berpendapat selagi diberi peluang, tidak salah sekiranya mencuba. Atas sebab itu juga, dia tidak mahu terikat kepada satu aliran saja, tetapi lebih bersifat global dengan mencuba cabang seni berlainan.
"Disebabkan bakat saya menyerlah menerusi program realiti yang dikendalikan Astro itu, ramai mempertikaikan kebolehan saya. Mereka berpendapat yang saya hanya sesuai berlakon dalam sitkom, drama ataupun filem bergenre komedi.
"Jadi, ramai memanggil saya pelawak. Bukan tidak suka dengan gelaran itu, apatah lagi rezeki seni saya mula dicungkil menerusi Raja Lawak Astro. Cuma, kalau boleh saya ingin dikenali sebagai penghibur di mana meliputi lakonan, pengacaraan dan juga pelawak.
"Alhamdulillah, lakonan saya menerusi Geng Zizan Raya mendapat respons baik di kalangan peminat. Malah, ramai tidak menyangka yang saya boleh membawa watak serius hingga ada yang mengalirkan air mata.
"Kalau diaju mengenai minat, sudah tentu ia menjurus kepada membuat lawak. Tetapi, melihat industri seni yang semakin ramai dengan saingan baru, saya rasa seseorang itu perlu mempelbagaikan karier seninya sebagai pakej untuk bertahan," katanya ketika ditemui selepas sidang media Raja Lawak Astro musim keempat di Marche Movenpick Restaurant, The Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.
Tidak mahu dicop tamak, tawaran kepada Zizan ketika ini bukan sekadar untuk program lawak tetapi khidmatnya turut menjangkaui pengacaraan mahupun lakonan. Dimulai dengan kepercayaan menjayakan Raja Lawak Astro musim kedua bersama kawan karibnya, Johan, bakat Zizan makin terserlah.
Malah, kredibiliti Zizan untuk terus menggalas sebagai pengacara dalam program itu diteruskan menerusi musim keempat. Zizan menganggap kepercayaan yang diberi pihak Astro, membuka ruang kepadanya untuk terus melebarkan sayap.
"Dari Raja Lawak Astro, saya diberi kepercayaan menjayakan Bolos dan pelbagai program lagi. Bagi saya, kepercayaan mengacarakan Raja Lawak Astro bersama Johan, adalah rezeki yang tidak ternilai harganya. Dari situlah, saya mula dikenali dan membuka mata ramai produser tempatan untuk mengambil saya bekerja dengan produksi mereka.
"Bagaimanapun, saya harap tiada lagi pihak yang cuba melaga-lagakan saya dengan Johan seperti sebelum ini. Kalau difikirkan, hairan jugalah apabila tersebar gosip yang mengatakan kami berdua bergaduh. Salah faham tetap ada dalam jalinan persahabatan tetapi tidaklah putus terus.
"Ada sesetengah pihak mempertikaikan siapa bagus antara Johan dengan saya ketika mengendalikan program Raja Lawak Astro. Bagi saya, setiap daripada kami mempunyai gaya tersendiri yang berupaya menghidupkan suasana program realiti itu," katanya yang kini banyak mendapat tawaran menjayakan program berbentuk game show selepas raya.